MENJENGAH ke teluk rasa figura ternama Anuar Zain, sekali lagi pertanyaan tentang kesendirian tanpa suri di penghujung usia 40 tahun disuakan ke mukanya. Sedikit lelah yang enggan dijelmakan, pelantun yang masih berhantu dengan alunan Lelaki Ini teguh mendakap syukur.
Terima kasih Tuhan katanya kerana diperlengkapkan kehidupan bahagia beriring utuh karier. Teman dan keluarga juga berkelip indah, menemani siang malam seorang Anuar Zain.
Dia masih beraja tanpa permaisuri dan 2010 yang bakal ditinggalkan ini, langkahnya teratur tidak bergugah oleh terkilan atau sepi bersendirian yang masuk mencelah.
"Saya seorang yang sabar dan sangat bersyukur. Jika tiada jodoh sekali pun untuk saya, mungkin itulah aturan terbaiknya yang telah ditentukan kepada saya.
"Saya sendirian, solo tanpa teman hidup tetapi tidak bermakna saya dalam kesepian. Walaupun belum berkahwin dalam usia begini, saya ada ramai kawan yang berkualiti," pertahan Anuar meladeni hakikat hidup membujang.
Menambah resam orang bujang, Anuar juga tidak terdesak atau merintih jodoh tak sampai.
"Saya bukan orang yang suka berdrama sebegitu rupa. Saya menikmati hidup saya sepenuhnya dan tidak merosakkan jiwa dengan perkara sebegitu.
"Fokus sahaja dengan kerja dan kenapa harus menjadi mangsa perasaan kerana saya reda jodoh itu kerja Tuhan. Tapi bila saya kata saya reda, ada pula menggelarkan saya sebagai 'poyo'. Biarlah," ucapnya.
Berbaki kurang tiga minggu sebelum 2011 menyelinap ke posisi, Shahrul Anuar Zain yang bugar bersandar vokal lunak ada berharap. Biarlah 2011 mencurahkan hasil yang baik untuk semua. Kepada dirinya sendiri, dia tidak meletak sebarang visi khusus.
"Saya jenis sukar untuk bercakap tentang visi, lainlah kalau berkaitan dengan album atau lagu baru. Ada perkara tertentu yang datang tanpa dijangka. Tetapi biasalah, bila masuk tahun baru, orang akan cakap tentang penambahan usia atau peralihan hidup.
"Saya masih Anuar Zain yang dikenali umum, jika ada peralihan dari segi kematangan itu takrifan orang luar terhadap saya. Dalam soal kerja, ia masih sama," ucapnya sedar ada janji kepada peminat yang belum diselesaikan.
0 comments:
Post a Comment