LOKMAN, 24, tidak pernah menyangka keputusannya menerima tawaran kerja di salah sebuah agensi perbankan di Kuala Lumpur telah merubah seluruh hidupnya.
Daripada seorang anak muda yang hidup sederhana, kini dia yang berasal dari utara tanah air, dilimpahi dengan kemewahan yang dia sendiri tidak pernah bayangkan selama ini.
Sebagai anak muda yang baru menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di salah sebuah universiti swasta, rasa teruja dan semangat Lokman untuk memasuki alam pekerjaan begitu meluap-luap.
Bukan tidak pernah berfikir untuk mencari kerja di tempat kelahirannya dan pada masa yang sama menjaga ibu yang tinggal berseorangan setelah kematian ayahnya tiga tahun lepas, tetapi memikirkan peluang yang datang sekali seumur hidup menyebabkan Lokman nekad berpindah ke kota besar.
Wajah tampan dengan bentuk badan tinggi lampai persis seorang model ternyata bonus untuk Lokman apabila dia bukan sahaja terkenal dan menjadi kegilaan remaja perempuan di kampungnya, malah turut menjadi perhatian pekerja-pekerja wanita di tempat kerjanya.
Ketampanan itu jugalah yang telah menjerumuskan ke kancah hidup tidak bermoral sebagai 'gigolo' atau istilah anak muda sekarang jadi 'anak ikan' pada wanita-wanita kaya semata-mata untuk hidup mewah.
"Sebagai akauntan di bank saya kerap bertemu dengan pelanggan bagi menguruskan hal berkaitan kewangan mereka.
"Pada masa sama saya juga menawarkan khidmat perunding kewangan secara sambilan bagi mencari duit tambahan memandangkan gaji yang diperoleh tidaklah setinggi mana. Lebih-lebih lagi apabila sebahagiannya perlu dihantar ke kampung.
"Ramai daripada pelanggan saya adalah wanita. Selalunya urusan dilakukan di luar waktu pejabat sama ada di restoran atau rumah-rumah kelab.
"Kadangkala perbincangan meleret daripada soal kewangan membawa kepada hal-hal peribadi.
"Rata-rata wanita ini walaupun duit bukan jadi masalah tetapi hidup mereka sunyi tanpa teman kerana mungkin suami masing-masing sibuk.
"Jadi mereka berasa selesa dan gembira apabila ada orang yang bersedia meluangkan masa mendengar luahan mereka," kata Lokman.
Jejaka ini mengakui tidak pernah menolak apabila wanita-wanita tersebut berterus-terang ingin menjadikan dia teman istimewa dan mengumpannya dengan wang ringgit serta barang-barang berjenama.
"Mula-mula memanglah sekadar ingin menolong dan menjadi teman berbual. Tidak ada niat untuk mengambil kesempatan terhadap mereka.
"Namun lama-kelamaan semakin seronok dikelilingi kemewahan. Jenama-jenama mewah yang tidak mungkin saya akan dapat dengan gaji yang ada kini mudah diperoleh. Hanya sebut saja pasti dapat.
"Kerjanya pun bukan susah. Hanya perlu melayan apa saja kehendak mereka. Saya tahu secara moralnya memang salah. Tetapi memikirkan wang dan kemewahan yang boleh saya dapat, pejamkan mata dan jalani kehidupan seperti biasa," kata Lokman berterus-terang.
Bukan seorang malah ada kalanya dia 'disimpan' dua atau tiga wanita pada masa yang sama.
Kerjanya sebagai 'anak ikan' kepada beberapa orang wanita diatur dengan teliti agar tidak diketahui di kalangan mereka.
Dia perlu bijak membahagikan masa untuk menemani wanita-wanita tersebut apabila khidmat diperlukan.
Kebanyakan mereka berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun yang kesunyian dan sering ditinggalkan suami atas urusan kerja. Mereka mencari 'pucuk muda' di luar bagi menghiburkan hati.
"Kadang-kadang ada timbul perasaan geli apabila terpaksa bermesra dan melayan kehendak wanita yang umurnya seusia dengan ibu di kampung.
"Namun, kerana wang, perasaan itu tidak dihiraukan. Saya menganggapnya sebagai satu pengorbanan untuk mendapatkan wang dengan cara mudah," katanya.
Ternyata 'pengorbanan' tersebut berbaloi apabila dalam tempoh setahun bekerja, dia sudah mampu memiliki kereta mewah.
Katanya, kereta tersebut bukan dibeli dengan wang sendiri tetapi ditaja oleh seorang wanita yang juga usahawan berjaya.
"Tidak cukup dengan itu, kini saya juga telah memiliki sebuah rumah yang juga dibeli oleh wanita tersebut dengan syarat saya perlu melayan dan memenuhi kehendaknya apabila dirinya memerlukan saya.
"Bukan tidak pernah ibu menyoal tentang status pekerjaan yang dilakukan apabila melihat kemewahan yang saya miliki sekarang.
"Tetapi saya tidak mengendahkan persoalan tersebut kerana tidak mahu mengecewakan hatinya apabila mengetahui perkara sebenar," katanya.
Walaupun Lokman akui indah dibuai mimpi dengan kemewahan tersebut, dia berharap suatu hari nanti dirinya akan kembali ke pangkal jalan.
0 comments:
Post a Comment